"Macam mana kita nak tahu lelaki tu jodoh kita kak…?" tanya Nora selepas solat malam itu. Nora adalah teman baru yang saya kenali sewaktu kali-kali pertama menjejak kaki ke masjid di Pekan Meru berhampiran kediaman kami.
Ukhti yang dikasihi, kita tak pernah tahu siapa jodoh kita hingga kita bernikah dengannya. Namun soal jodoh, ada ikhtiar yang manusia boleh lakukan.
Kita boleh memikirkan, mencari dan memilih bakal suami atau isteri. Kita boleh menganalisa dan menyiasat tentang calon teman hidup semampunya. Malah dianjurkan melihat wajah dan bermusyawarah dalam urusan yang sebegitu penting. Jua solat istikharah.
Saya kembali membuka episod-episod sewaktu saya dalam proses membuat keputusan untuk bernikah, untuk menerima lamaran di penghujung tahun lepas.
Memang wajar sekali kalian memikir-mikir perkara ini dengan sebaiknya. Kerana kebanyakan kita memahami bahawa jodoh adalah perkara yang penting dan serius, yang memerlukan pertimbangan yang objektif dan cermat.
Melihat latarbelakang diri, saya lahir di Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Sepuluh tahun pertama hidup saya, membesar di kelilingi kawasan kelapa sawit di Felda Pasoh 3, Jempol. Kemudian berpindah ke kawasan kampung tempat kelahiran ayah bonda tercinta saya di Padang Lebar [daerah Kuala Pilah].
Selepas habis SPM baru saya menjejak kaki menjadi 'orang bandar' Shah Alam selama lebih kurang enam tahun sebelum bernikah. Saya anak ketiga merangkap anak perempuan pertama dari 9 beradik.
17 tahun saya menghirup udara budaya felda dan kampung, bagaimana saya akan menyesuaikan diri dengan suami yang telah 38 tahun bermastautin di bandar? Suami saya membesar di Kuala Lumpur, melalui zaman kanak-kanak dan remajanya di tengah bandaraya dalam lingkungan adik beradik hanya seramai 3 orang. Suami saya setelah bekerja dan bernikah [pernikahan pertama], menetap pula di bandaraya Shah Alam.
Saya datang dari keluarga sederhana, ayah seorang guru di sekolah rendah dan ibu tercinta seorang suri rumah sepenuh masa. Manakala papa [ayah mertua] seorang Timbalan Pengarah Penjabat Pos Malaysia merangkap seorang ahli ekonomi dan mama [ibu mertua] seorang guru di sekolah menengah di Kuala Lumpur (juga chef yang hebat...!).
Latarbelakang keluarga ini sesungguhnya banyak membentuk sikap dan pemikiran kita pada hari ini.
Melihat bakal suami saya ketika itu(suami saya kini) sebagai seorang juruterbang dan seorang penulis bidang agama yang disegani, saya ketika itu hanya bekerja sementara sebagai seorang staf di sebuah poliklinik - apakah saya akan kuat dan rasional menghadapi perbezaan latarbelakang keluarga dan kerjaya ini..?
Nah saudaraku...antara perkara besar tentang jodoh ini ialah sejauh mana kesediaan kita untuk bertoleransi dengan perbezaan-perbezaan sebegini..? Lelaki dan perempuan sudah semestinya berbeza dalam banyak aspek.
Contohnya, walaupun suami isteri bercakap bahasa yang sama, namun sering saja memberi maksud yang berbeza. Lelaki lebih memandang 'perkara-perkara besar', perempuan cenderung memberi perhatian pada 'perkara-perkara kecil'. Perempuan suka bercakap tentang emosi dan relationship sedangkan lelaki ada kecenderungan yang lain.
Perbezaan itu pasti berlaku, sebagai salah satu bukti keagungan ciptaan tuhan. Hanya saja, sejauh mana kita membina kematangan dan kebijaksanaan mengurus perbezaan yang timbul di segenap sudut.
Seandainya perbezaan ini tidak diurus dengan baik, ketika itulah berbunga konflik dan pergaduhan. Kemudian wujud pertentangan, seandainya dibiarkan, pertentangan semakin membesar hingga kita terpaksa menjalani hidup yang terasa jauh dari suami dan isteri walau realitinya berada sebilik dan sebumbung.
Sakit dan peritnya tak terkata seandainya tidak berusaha memahami, menghormati dan menghargai perbezaan yang ada di antara suami dan isteri. Berusahalah untuk meluruskan pertentangan dan bersedialah berubah ke arah kebaikan.
Aspek yang terpenting juga adalah ilmu - bersediakah kita menjadi isteri yang terus menuntut ilmu yang banyak cabangnya...? Agar kita mampu menyelaraskan diri dengan pemikiran dan wawasan suami. Agar kita mempunyai topik segar lagi bernas untuk disembang dengan suami..
Terima kasih tak terhingga pada sahabat-sahabat dan kakak-kakak yang sangat banyak memberi panduan dan pandangan yang telus sewaktu saya dihadapkan dengan lamaran. Pesanan-pesanan mereka dan nasihat-nasihat keluarga jua teman lainnya menjadi pedoman untuk saya melangkah ke alam pernikahan.
Saya berfikir lama, sejauh mana kemampuan dan kesediaan saya untuk hidup dengan seseorang yang jauh berbeza latarbelakang dengan diri ini. Sejauh mana kesediaan bakal suami menerima saya kelak yang berbeza budaya hidup dengannya.
Ditambah pula dengan perbezaan usia 13 tahun, mampukah saya menjadi 'bagaikan Aisyah di hati Rasulullah'....?
Namun saudaraku, di situlah Islam dengan kesempurnaannya datang menjadi pedoman berharga buat kita.
Seluas manapun jurang latarbelakang keluarga dan kerjaya, Islam ada 'standard' akhlak islami. Seandainya diri berusaha memuliakan akhlak pada diri, insyaALLAH di daerah mana pun kita dicampakkan, kita mampu survive.
InsyaALLAH dengan akhlak islami, walau siapapun jodoh kita, kita mampu menjadi teman yang baik untuknya. Suami dengan akhlak islaminya pula layak dicintai isteri. Dengan akhlak islami, seorang isteri mampu mendorong suami dan ahli keluarga untuk menjadi hamba yang lebih baik di sisiNYA.
Islam juga mengajar kita apakah hakikat penciptaan langit dan bumi, apakah sebenarnya tujuan kehidupan. Dari sedikit pengetahuan saya tentang bakal suami, hati saya tenang merasakan beliau adalah orang yang jelas dengan wawasan dunia dan akhirat.
Sekalipun background kami berbeza, misi dan visi kehidupan yang sama insyaALLAH tetap membenarkan kami untuk melangkah teguh sebagai suami dan isteri.
Saya 'join jemaah', suami saya tak 'join jemaah'.. inikah juga perkara yang menjadi pertimbangan kalian? Justeru, luaskanlah pemahaman tentang jemaah dan lain-lain aktiviti berkaitan dakwah dan tarbiyyah.
Seandainya kita memandang jemaah dan dakwah sebagai perkara yang memisah-misahkan kita dari suami dan famili, kita mungkin tidak melihat dakwah itu sebagai bahagian besar dari misi rumahtangga dan kehidupan.
Perkara sebegini bagi sebahagian orang akan mempengaruhi keputusan dan kehidupan alam perkahwinan, namun sekali lagi, adalah bagaimana kita mengurus perbezaan dengan kematangan dan kebijaksanaan.
Apapun, inilah perkongsian pandangan peribadi saya dari singkatnya pengalaman menjadi isteri dan pelajar universiti kehidupan. Aisyah r.a wajib diteladani keimanan, ilmu, akhlak dan kematangannya dalam menjadi isteri kepada lelaki teragung. Keremajaan aisyah dan jarak usia yang jauh berbeza tidaklah mengganggu suaminya yang serius berkorban untuk ummah.
Saya semakin mengerti bahawa perkahwinan sesungguhnya satu proses belajar yang panjang. Saya kini sedang belajar dari suami dan rumahtangga yang dibina, bagaimana saya boleh menjadi isteri yang lebih dicintai ALLAH dan suami.
Saya juga percaya bahawa suami yang saya hormati dan kasihi sedang melalui tempoh belajarnya untuk menjadi suami yang lebih baik kepada dua isterinya.
Ayuh membina kematangan menghadapi perbezaan..!
Ayuh kita indahkan peribadi dengan akhlak islami..!
Ayuh kita tabahkan hati belajar menjadi isteri yang lebih baik dan lebih baik!
*artikel lama yang diubahsuai
No comments:
Post a Comment